ETIKA DAN PERADABAN DALAM KEPELBAGAIAN MASYARAKAT
Peradaban adalah satu sistem dan tahap perkembangan sosial sesuatu bangsa yang merangkumi kemajuan sosial dan kebudayaan dalam sesebuah masyarakat itu. Peradaban adalah satu istilah yang digunakan untuk menjelaskan pencapaian kemajuan sebuah tamadun dalam aspek material, rohani dan jasmani. Perkataan peradaban ini berkait rapat dengan tamadun yang berasal daripada perkataan Arab, tamaddun. Istilah tamadun ini memberi pergertian kepada kehidupan masyarakat yang telah mencapai tahap tatasusila dan kebudayaan yang luhur. Tamadun ini digunakan untuk menceritakan mengenai peradaban, kebudayaan, kemajuan dan kemakmuran yang dicapai sesuatu bangsa (Amdun Hussain, 1986).
Etika dan peradaban yang baik adalah dua tunjang utama yang menjadi pemangkin dalam perkembangan sesebuah negara menuju ke pembentukan peradaban tamadun yang lebih baik. Pembentukan sesebuah negara maju yang ditunjangi dua prinsip ini akan menjadi kayu ukur kepada kemampuan sesebuah negara tersebut untuk membangunkan pemikiran dan nilai sahsiah rakyat yang baik dan cemerlang. Mohd Ridhuan (2007) mengatakan bahawa negara membangun dan maju bukan sahaja menitikberatkan kemajuan dalam aspek pembangunan material tetapi juga menekankan pembangunan nilai yang meliputi etika moral individu dan masyarakat. Menurut Hamzah (1985) pula, etika boleh didefinisikan sebagai satu ilmu yang menyelidiki perlakuan baik atau buruk seseorang manusia melalui cara memperhatikan tingkah laku manusia tersebut.
Pembentukan etika dan peradaban di Malaysia telah lama bermula semenjak negara ini mencapai kemerdekaan lagi. Perkara ini dapat dibuktikan sejak dari zaman pemerintahan Kesultanan Melayu Melaka. Shamsul Amri (2012) mengatakan bahawa interaksi yang berlaku dengan dunia luar yang melibatkan budaya masyarakat daripada Arab, Hinduisme, Buddahisme dan Eropah seperti Belanda, Sepanyol dan British telah melahirkan satu ciri fenomena budaya yang plural. Pada ketika ini kewujudan fenomena ini adalah berlaku tanpa paksaan yang menyebabkan proses pembentukan etika dan peradaban tersebut berlaku dengan baik. Namun demikian, kedatangan kuasa barat yang membawa sistem pemerintah berbentuk segrerasi agama daripada politik telah mengakibatkan perubahan nilai masyarakat. Zurina dan Hukil ( 2007 ) menyatakan dalam kajiannyya, ideologi yang dibawa oleh penjajah Barat telah mengubah nilai masyarakat di Tanah Melayu. Kemasukan pendatang Cina dan India dalam jumlah yang besar telah membawa satu proses pembentukan kepelbagaian masyarakat secara paksaan. Tambahan pula polisi penjajahan iaitu Dasar Pecah dan Perintah telah meningkatkan lagi jurang sosial antara kaum. Kesan daripada dasar kepada proses pembentukan etika dan peradaban yang baik dapat dilihat selepas negara Malaysia dibentuk dan mencapai kemerdekaan.
Titik hitam dan sejarah terburuk antara kaum di Malaysia adalah tragedi 13 Mei yang telah membawa impak yang besar dalam mencapai perpaduan kaum. Tragedi hitam 13 Mei 1969 yang berlaku akibat isu-isu perkauman yang berlaku semasa Pilihan Raya Umum 1969. Seperti yang dibincangkan oleh Abdul Rahman & Azman Nordin, (2009) jurang kemiskinan desa dan kemewahan bandar dan perbezaan pendapatan antara Melayu dan bukan Melayu telah mencetuskan tragedi hitam ini. Tragedi ini akhirnya telah membawa kepada pembentukan ideologi kebangsaaan iaitu Rukun Negara dan Dasar Ekonomi Baru (DEB). DEB ini bertujuan untuk mewujudkan keseimbangan ekonomi antara kaum dan wilayah untuk mencapai erti perpaduan. Keadaan ini menyumbang kepada pembentukan etika yang lebih baik melalui penerapan perpaduan dan nilai moral dalam masyarakat. Namun demikian dalam menghadapi kepelbagaian masyarakat di Malaysia terutama masyarakat kotemporari masa kini, pembentukan etika dan peradaban ini tidak lari daripada isu dan cabaran untuk kelestarian pembentukan ini.
Dalam usaha pembentukan etika dan peradaban di negara ini terus lestari dan beterusan, kerajaan telah mengambil pelbagai langkah yang wajar. Antaranya ialah pembentukan ideologi kebangsaan iaitu Rukun Negara yang mempunyai 5 teras nilai yang harus dipatuhi dan dijadikan panduan hidup oleh masyarakat majmuk di Malaysia. Lima prinsip Rukun Negara ini telah dibentuk sesuai dan sejajar dengan acuan masyarakat negara Malaysia yang berbilang kaum. Kelestarian etika dan peradaban rakyat ini ditekankan pada prinsip Rukun Negara yang kelima iaitu Kesopanan dan Kesusilaan. Prinsip ini bertujuan untuk membentuk individu dan masyarakat yang berahklak dan bersopan santun dalam kehidupan seharian. Sifat individu yang mempunyai etika dan sopan signifikan dalam konteks silaturahim dan komunikasi antara sesama antara masyarakat majmuk yang hidup di Malaysia. Hakikatnya, prinsip ini adalah untuk menjadi panduan kepada masyarakat untuk berperilaku sopan dan beretika sesuai dengan perkembangan peradaban bangsa dan nilai-nilai murni. Sesungguhnya, prinsip Rukun Negara ini adalah untuk membentuk perpaduan yang padu dalam kalangan masyarakat untuk memelihara kehidupan bangsa yang demokratik, adil, makmur. Keadaan ini akhirnya akan membentuk masyarakat yang liberal terhadap tradisi kebudayaan yang pelbagai dan membina peradaban masyarakat yang progresif selaras kemajuan sains dan teknologi.
Seterusnya, pemantapan etika dan peradaban di negara ini adalah melalui penggunaan bahasa serumpun dan sistem tulisan yang sama. Hakikatnya, etika dan peradaban yang baik sukar untuk dicapai dalam masyarakat terutama dalam keadaan masyarakat yang pelbagai atau masyarakat majmuk. Menyedari situasi ini, pemimpin sedar pentingnya untuk mewujudkan satu bahasa kebangsaan sebagai medium utama untuk berkomunikasi bagi mencapai hasrat untuk menyatupadukan rakyat. Hal ini kerana, perbezaan dan kepelbagaian bahasa dalam masyarakat majmuk ini mewujudkan satu jurang sosial yang menyebabkan konflik dan salah faham antara masyarakat mudah berlaku kerana tiada komunikasi yang berkesan antara masyarakat yang terlibat. Hakikatnya, komunikasi adalah medium utama bagi manusia untuk saling mengenali dan memahami perbezaan antara kaum. Maka jika komunikasi yang tidak baik antara kaum terjadi maka pembentukan etika tidak akan berlaku. Tanpa perpaduan ini, satu peradaban yang baik tidak akan tercapai. Dengan mewartakan satu bahasa kebangsaan dan dengan demikian dalam Perlembagaan Malaysia, Perkara 152 menguatkuasakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan ( Mohd. Salleh Abas, 1985). Bahasa Melayu menjadi Bahasa Kebangsaan atas tujuan untuk memenuhi keperluan bagi menyatupadukan pelbagai etnik di negara ini agar menjadi satu negara yang bersatu, beretika dan memiliki peradaban yang mantap.
Kesimpulannya, penerapan penghayatan etika dan nilai murni dalam agama dan masyarakat perlu ditekankan bagi membolehkan generasi akan datang lebih bertamadun dan berketrampilan. Hal ini kerana dalam mencapai peradaban yang seimbang dan maju, kemajuan nilai-nilai sosial perlu agar masyarakat yang bersatu padu, hormat-menghormati dan mempunyai kualiti yang tinggi dapat dihasilkan. Perkara ini seterusnya akan menjadi pemangkin kepada negara untuk merealisasikan impian dalam mencapai tahap negara maju yang seimbang dari sudut ekonomi, sosial dan politik. Konsep perpaduan dan permuafakatan ini akhirnya menjadi tulang belakang dalam sesebuah negara majmuk kerana perpaduan akan menjadi tunggak kepada kestabilan sosial, ekonomi dan politik.
RUJUKAN
Abdul Rahman Abdul Abdul Aziz & Muhmed Nor Azman. ( 2009 ). Pemikiran Pembangunan Perdana Menteri Malaysia. Kertas Kerja di Regional on Humanities 2009- Managing Asean’s Future. Universiti Teknologi Petronas Tronoh , Perak.
Amdun Hussain. ( 1986 ). Kamus Bahasa Pelajar. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa & Pustaka
Mohd Ridhuan Mohd Jamil. ( 2007 ). Rekabentuk Kerangka Piawaian Transnasional Bagi Program Tenaga Pengajar TVET. Universiti Tun Hussein Onn Malaysia.
Hamzah Yaakob. ( 1985 ). Etika Islam. Bandung cv Deponegoro.
Mohd. Salleh Abas. ( 1985 ). Unsur-unsur Tradisi dalam Perlembagaan Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa & Pustaka.
Shamsul Amri Baharuddin. ( 2012 ). Modul Hubungan Etnik. Bangi : Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia
Zurina Mahadi & Hukil Sino.( 2007 ). Hubungan Nilai Masyarakat dan Pembangunan : Satu Analisa. Jurnal Pengajian Umum. Bil.8

Comments
Post a Comment